Ini langkahku

yang kan ku hayun

walaupun payah

tak akan goyah.

Berat untuk melangkah. Tapi bukan bermakna tak nak melangkah. Hanya perlu masa untuk memujuk. Bukan memujuk yang lain, namun lebih kepada memujuk diri sendiri.

Pagi: “Iqa, makan tak? Jom.” Ibu menjerit dari dapur.

Tengahari: “Iqa, Ayah dah balik. Makan jom.” Ayah, memanggil dari pagar besi. Sebelum bunyi kunci di masukkan pada tombol pintu.

Petang: “Nikmatkan? Ada nangka, ada cempedak, dalam peti ada anggur, ada nenas, ada laici. Nanti Iqa kerja duk kat kampung ye. Dengan Ibu Ayah. Banyak benda boleh makan sama-sama.” Ayah menyuakan buah rambutan.

Maghrib; “Jom, pergi masjid. Malam ni ada ceramah. Lagipun Ayah nak pergi dengan kereta. Alang-alang tu angkut lah semua orang.”

Lepas Isyak: “Iqa, nak makan tak malam ni? Ibu nak tanak nasi baru kalau nak makan juga. Kalau tak, takperlu tanak. Untuk Ibu Ayah dah cukup nasi banyak ni.”

Hari-hari kehidupannya macam tu. Makan tak perlu cakap, terjaga. Tidur? Dalam sejuk pendingin hawa. Kadang-kadang dia bosan juga, hanya sepi menemani diri bila keduanya menghilang, melakukan sesuatu untuk mengeluarkan peluh.

Alhamdulillah, Ibu Ayah bebas dari sebarang penyakit. Alhamdulillah. Mungkin bukan dalam kemampuan dia untuk Allah uji dia macam tu.

“Iqa nak pergi bila? Jangan lupa beli tiket. Kalau tiket habis, susah pula.” Soal ibu. Mungkin sedikit pelik melihat dia masih dirumah, sedang yang lain sudah berangkat kembali ke realiti. 

“Insyaallah, hari Rabu ni. Hari Khamis sampai. Esok petang kita beli tiket on the way balik dari bandar.” Ibu senyap. Mungkin berfikir.

“Awalnya. Anjaklah sikit. Ambil tiket hari Khamis. Boleh Ibu hantar Iqa sekali. Kalau tak, Ayah je lah yang hantar Iqa.” Ibu memujuk. Kalau boleh, dia memang ingin terus lama di rumah, di kampung namun, apa dayanya. Mereka di sana sudah memanggilnya pulang. Ada tugas yang menanti.

Hari Rabu, pagi:

“Bila Iqa nak beli tiket? Ayah nak guna kereta.”

“Gunalah, petang nanti pun boleh Iqa pergi.” Sungguh, dia rasa berat. Ini bukan kali pertama, bahkan kali kedua. Waktu kali pertama dulu, dia ingat, sepanjang waktu dia di sana, kehidupan rasa tak kena. Dan kehidupan itu, menarik perhatian beberapa orang yang bersamanya. Bahkan, melukakan salah seorang daripadanya.

Berangkatlah kamu, baik dalam keadaan ringan, mahupun berat…

Terpampam tulisan itu di skrin laptopnya. Makan dalam. Terasa terkena pada diri. Dia membuka Furqan. Membelek Surah At-Taubah, ayat ke 41. Bukan dia tak tahu malah ayat tersebut tersimpan kemas dalam memori hatinya.

Image

Bunyi enjin kereta dimatikan. Iqa bersiap. Bergerak. Mengatur langkah ke kereta. Dia tahu apa yang bakal dilakukan di sana, ada kebaikan untuk dirinya, dan mereka di sana. Dia tahu. Maka, berat atau ringan, langkah kaki itu harus di atur.

Ayat Allah itu, bukan sahaja untuk dibaca, dihafal, bahkan untuk diamalkan. Bukankah Allah menyinta mereka yang walk the talk?