“Bidang kita, bukan dinilai berdasarkan sijil yang tersimpan berkeping-keping, tetapi dinilai berdasarkan kemahiran, amali yang kita boleh buat. Mempunyai sijil itu satu bonus, tetapi sijil tanpa kemahiran itu mengundang sinis.Sia-sia namanya.”

Masih lagi kedengaran suara itu ditelinganya. Ain menarik nafas.Panjang.

“Islam itu bukan setakat apa yang terconteng pada IC kita, atau apa yang kita conteng pada dinding Facebook. Bukan setakat itu adik-adik. Tapi Islam itu dinilai pada niat kita, perbuatan kita, amal kita. Kita bukan nak jadi Islam pada nama je, tapi kita nak jadi Islam yang Allah iktiraf. Kalau Islam yang Allah iktiraf tu, mestilah yang berkualiti punya, iye dok?”

Si Penceramah bertanya. Ain tidak ambil kisah siapa penceramah tersebut. Asalnya hadir dirinya di surau ini untuk melarikan diri daripada rakan-rakan. Konon main sembunyi-sembunyi. “Heh. Rupanya ada ceramah kat sini. Lepak dulu kejap.” Hatinya memujuk.

Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Prinsip hidup yang dia pegang. Sekali terlintas dalam hati, kena buat sampai habis. Kalau tidak, akhirnya dia yang menyesal.

“Kalau letak 2 orang depan kamu, sekarang ini, seorang Islam dan seorang bukan Islam, tanpa saya sebut yang mana Islam dan yang mana bukan Islam, agak-agak kamu boleh cam tak?”

“Boleh. Insyaallah.” Ramai-ramai suara dalam surau menjawab. Yakin.

“Kalau yang diletak di depan diorang ni, orang macam aku ni, diorang boleh ke nak cam? Heh, berlagak pandai.” Ain bersoal sendirian. Perlahan, namun ada sepasang telinga yang mendengar.

Si Penceramah menyambung. “Kamu ni, yakin sangat. Kalau yang diletak dihadapan ini, dua orang perempuan, sama-sama tidak bertudung, sama-sama rambut merah, sama-sama memegang quran, boleh ke kamu nak cakap yang mana Islam dan yang mana bukan Islam?”

Ain diam. Telinga mendengar kata-kata itu. Seperti yang dia persoalkan sebentar tadi.

Kedengaran suara-suara sok-sek sok-sek bercakap.

“Islam itu, tak lain tak bukan hanya boleh dikesan melalui perbuatan, praktikal dan amali. Bukan saya nak cakap pasal aurat, tudung, bonggol unta atau apa sahaja berkaitan pemakaian kat sini, tapi saya nak bawa semua, untuk lihat pada diri kita, sejauh mana kita amal Islam yang kita anuti sejak lahir tu? Sejauh mana kita rasa dengan hati kita Islam tu? Ke selama ini kita amal Islam tu sebab ia perkara yang sejak kecil ibu kita, ayah kita minta atau suruh kita buat?”

Ain mendengar setiap patah kata penceramah itu. “Ibu ayah pun tak buat. Apatah lagi nak suruh aku buat.Heh.”

“Ataupun memang kita tak diajar sejak kecil dan kita menyalahkan ibu bapa kita sebab tak ajar kita Islam tu macam mana? Allahu Akhbar adik-adik yang saya sayangi kerana Allah. Yang berlalu, biarlah berlalu. Yang penting masih ada peluang untuk kita jadi muslim seperti yang Allah kehendaki. Bukan setakat jadi muslim dalam IC atau dalam senarai Jabatan Pendaftaran Negara, tapi yang penting jadi muslim yang sebagaimana yang Allah perintahkan, yang akhirnya memasukkan kita ke dalam senarai muslim yang paling Allah sayang? Bak kata seorang sahabat saya, menjadi artis Allah yang disebut-sebut dalam kalangan penduduk langit.”

Ain masih lagi mendengar. Entah apa yang memberi dia kekuatan dan fokus untuk mendengar. Yang pasti, setiap kata-kata penceramah dia rasa ada sesuatu perasaan baru yang mengalir. Perasaan yang dia sendiri tak pasti.

“Amalkan. Amalkan pegangan agama kita. Kalau kita si penganut tidak mengamalkannya, takkan nak suruh yang bukan penganutnya pula mengamalkannya? Lepas tu kita bising bila ada yang bukan Islam sembahyang kat bilik dia, bunyi lagu yang dia pasang kat bilik. Masalahnya ada pada kita. Kita yang taknak praktikkan agama kita, kenapa nak marah bila orang bukan Islam praktikkan agama dia?”

“Ustaz ni macam tahu-tahu je apa aku rasa. Semua benda dalam hati ni dia nak cakap kat luar. Kalau dengar aku cakap apa, jangan lah cakap kuat-kuat. Ish.”Ain mengomel. Takpuas hati.

Padahal, segalanya Allah yang aturkan. Allah yang meletakkan dia di surau itu, saat itu. Dan Allah juga yang memberi ilham pada si penceramah itu untuk bercakap.

Sepasang telinga yang mendengar tadi masih lagi memerhatikan tindak tanduknya.

Telefon tangan yang berkelip-kelip lampunya dipandang. 1 message received.

“Ain, ko katne? Agak-agak ar nak main hide-and-seek lama macam ni. Sejak bila pandai merajuk lama macam nih?” Dia membiarkan mesej itu sepi tanpa balasan. Malas nak layan.

Tanpa dia tahu, sepasang telinga di belakang masih lagi tidak beralih. Sebaris doa dipohon. “Moga petunjuk dan hidayah Mu menyapanya, ya Allah. Engkau yang hadirkan dia di sini. Berilah yang terbaik untuknya ya Allah.

Eh, sebaris dan seayat, bukan maksud yang sama kan? =)

Bercakap itu mudah, menulis juga, untuk praktikkan, kadang-kala sukar, tambah lagi bila melibatkan hati. Tapi, Allah janji:

94:5. Karena sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan,
94:6. sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.

Kamu, yakinkan dengan janji Allah? =)