Dia menapak ke masjid. Masjid Baiturrahman. Masjid dua tingkat. Tangan kanan memegang Furqan kesayangan, manakala tangan kiri memegang jubahnya yang gedabak. Kata abangnya, “Mak tak perlu beli penyapu kalau semua orang pakai jubah tu.”

Dia senyum. Croc ungu dipandang. Pemberian seorang junior di kolej. Meminta, memohon pada Illahi agar petunjuk dan hidayah menerpa hati pemberi itu.

Masjid masih lagi kosong. Sunyi. Sepi. Mungkin dia yang terlalu awal.

Langkah di atur. Di susun sejadah serapat yang mungkin sebelum berlalu menunaikan solat Tahiyatul Masjid. Usai sahaja dia mengucapkan salam kedua, jam berdenting menandakan masuknya waktu maghrib. Kedengaran Imam dan Bilal bercakap-cakap sebelum azan.

Maghribnya senja itu ditemani dua saff muslimat. Allah. Dia rindu suasana di kolej.

Dia melihat kiri dan kanan. Melihat dan mengukir senyuman pada semua yang ada. Mencari wajah-wajah yang mungkin dia kenal. Tapi hampa.Wajah makcik-makcik menghiasi pandangan mata.

Ada yang bertongkat. Allah. Dia membandingkan dengan dirinya. Alhamdulillah sihat. Tak perlu bertongkat. Masih punya kah alasan untuk dia mengatakan penat untuk melakukan tanggungjawab Allah yang satu ini? Dia bermuhasabah.

Dua saff itu, hanya dipenuhi oleh makcik-makcik. Dia rasa berbeza. Berbeza perasaan berada dalam saff yang umurnya hampir sebaya dengan dirinya berbanding berada dalam saff mereka yang berusia.

Sungguh, dia rasa sangat berbeza.

Bukan dia menafikan kehadiran makcik-makcik ke masjid, namun ia peringatan untuk dirinya. Peringatan untuk dirinya yang sentiasa mensiakan waktu sihatnya. Dan waktu lapangnya.

Cerama Isra’ Mikraj malam itu bagai angin lalu. Dan dia pulang malam itu, dengan satu semangat. Semangat seorang rijal.

Kerap kali mengulang dalam hatinya, “Kau, nak jadi orang yang tengok je ke, atau nak jadi orang yang buat? Jadi orang yang cipta sejarah, atau nak jadi orang yang ada dalam sejarah? Kalau nak jadi orang yang ada dalam sejarah tu pula, nak jadi yang bagaimana? Yang membantu, atau yang merencatkan? Atau, yang hanya mengkritik tanpa sebarang tindakan?”

“Dear me, you choose. You choose.”