Dia terasa penat. Penat menjadi ghuraba  di tengah padang. Dikuatkan hatinya, kepenatan di dunia hanyalah sementara. Akhirat jua yang kekal abadi.

Salahkah untuk dia terus bermain, bersukan dengan pakaian yang dia pakai sekarang? Salahkah? Allah je yang tahu perasaan dia.

Kadang-kadang dia cemburu melihat orang lain. Bebas mengenakan pakaian mengikut hukum Allah, tak kira masa sama ada menuntut ilmu, atau bersiar-siar atau apa sahaja. Tiada peraturan pemakaian yang dikenakan kepada mereka. Sungguh, dia cemburu.

Seringkali dalam pertemuan dia dengan seorang kakak itu, diluahkan perasaan ini. Tenang setelah diluahkan. Walau dia tahu ia akan berulang lagi. Sehingga dia tamat belajar. Sekurang-kurangnya.

 “Sampai bila akak, Leya perlu menanggung semua ni? Terasa hipokrit. Sekejap bertutup penuh, sekejap berbalut macam nangka. Terasa sangat berpura-pura dengan Allah.” Dia menunduk. Memandang rumput.

“Bertahanlah dik. Bertahan. Bukankah Allah mengetahui apa awak zahirkan dan apa yang awak sembunyikan? Dia Maha Melihat. Pandanglah segalanya dengan dada yang lapang. Bersangka baiklah dengan aturan Allah. Ingat tak yang ‘islam tu datang dalam keadaan asing, berada dalam keadaan asing, dan akan pergi dalam keadaan asing. Beruntunglah orang-orang yang asing itu’. Ingat tak?”

“Tapi akak….” Dia tahu dia kalah. Dia tahu apa yang Allah janjikan. Dia ingat hadis itu. Dia ingat. Bahkan hadis itu lah yang terpampang pada dashboard di biliknya. Penguat semangat untuk terus bertahan.

“Usahalah untuk menyebarkan cinta Allah. Untuk sebarkan nikmat Allah yang paling besar ni. Allah takkan bebankan seseorang melainkan apa yang mereka mampu. Usahalah. Mintalah pertolongan daripada Allah. Besar mana pun pangkat seseorang tu, takkan mampu, takkan mampu nak lawan kuasa Allah.”

Senyum. Dia tahu semua ini. Cuma kadang-kala, hati ini perlu diingatkan. Dia memandang lalang. Bergerak mengikut tiupan angin. Dia taknak menjadi seperti itu. Hanya mengikut apa yang berlaku di sekeliling. Tanpa mengambil kira hukum Allah.

“Doalah banyak-banyak. Hati tu, Allah yang pegang. Mana tahu suatu hari nanti terbuka hati mereka untuk faham Islam. Hati itu kan, Allah yang pegang.” Dia melihat senyuman pada bibir Kak Syira.

Mohon Allah luruskan hatinya. Dia mohon Allah berikan dia kekuatan. Dia tahu, Kak Syira hanyalah perantara. Seharusnya dia kembali pada Allah.

“Jom, balik. Dah petang. Dah nak maghrib. Kita solat kat Masjid Negeri ye. InsyaAllah.”

“Okeyh. InsyaAllah. Jazakillahu khair. Jazakillah.” Hatinya berbisik, “Allah, aku bahagia. Aku bahagia bersamaMu.”